Perodua sambung operasi pusat jualan, pusat servis

Iklan
Perodua menyambung operasi pusat jualan dan selepas jualan di seluruh negara. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perodua menyambung operasi pusat jualan dan selepas jualan termasuk perniagaan badan kenderaan dan cat di seluruh negara.

Menurut kenyataan pada Selasa, Perodua menjelaskan pembukaan semula pusat jualan dan selepas jualan itu adalah susulan penyambungan operasi kemudahan pembuatannya di ibu pejabat yang terletak di Sungai Choh, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Secara keseluruhannya, Perodua mempunyai 191 pusat jualan, 197 pusat servis serta 69 perniagaan badan kereta dan cat di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penghantaran kenderaan bermula secara berperingkat sejak minggu ini.

Iklan

"Kami menjangkakan lebih banyak kereta Perodua dihasilkan dan didaftarkan dalam beberapa minggu akan datang. Kami berterima kasih kepada pelanggan atas kesabaran, kefahaman dan kesetiaan dalam menerima kenderaan Perodua mereka.

"Kami berharap dapat menghantar sebanyak mungkin pesanan yang ada dalam tahun ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya sedang menilai kesan penutupan yang diperkenalkan pada 1 Jun, 2021 terhadap operasi Perodua dan akan mengumumkan sasaran semakan bagi tahun ini dalam tempoh terdekat.

Menurut Perodua, walaupun kriteria yang diperlukan untuk vaksinasi pekerja-pekerja telah dipenuhi namun, pihaknya juga telah menggariskan panduan keselamatan buat para pelanggan ketika mengunjungi pusat jualan dan selepas jualan.

Jelasnya, pusat selepas jualan merangkumi pusat servis serta kemudahan badan kenderaan dan cat.

"Keperluan-keperluan keselamatan ini termasuk mendapat vaksin sepenuhnya, memakai pelitup muka, membuat janji temu sebelum mengunjungi cawangan jualan dan/atau servis dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Secara keseluruhan, Perodua mempunyai kira-kira 11,000 tenaga kerja di bawah syarikat tersebut dan jika digabungkan dengan para pembekal, pengedar dan kontraktor -- ekosistem Perodua mempunyai lebih 70,000 tenaga kerja. - Bernama