TUNIS - Kemelut politik di Tunisia semakin meruncing apabila Presiden Kais Saied melanjutkan pelanjutan tempoh penggantungan Parlimen sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak, sebulan selepas beliau memecat Perdana Menteri, Hichem Mechichi yang didakwa sebagai satu 'rampasan kuasa' oleh penentang beliau.
Menerusi dekri presiden yang dikeluarkan pada Isnin, Saied turut meneruskan perintah pembekuan imuniti ahli Parlimen selepas 'campur tangan' pada 25 Julai lalu memberikan beliau kuasa eksekutif.
Pejabat Presiden dalam satu kenyataan turut memaklumkan beliau akan berucap kepada rakyat dalam tempoh beberapa hari akan datang, namun tidak menyatakan butiran lanjut.
Sehingga kini, bekas profesor undang-undang itu belum melantik kerajaan baharu atau 'hala tuju' keputusan mengejut beliau yang turut menyaksikan pemecatan beberapa menteri dan pegawai kanan di negara yang pernah menjadi pencetus Arab Spring pada 2011.
Tindakan beliau yang didakwa bertujuan untuk mengelakkan kejatuhan Tunisia turut berdepan kecaman beberapa ahli politik, ahli perniagaan, hakim dan kumpulan penentang terutamanya daripada Parti Ennahda yang merupakan blok terbesar di Parlimen sebelum ini.
Golongan itu mendakwa mereka dikenakan tahanan rumah tanpa sebarang amaran malah dilarang melakukan perjalanan ke luar negara setelah kehilangan imuniti.
Difahamkan, Saied telah menggunakan Artikel 80 Perlembagaan yang diguna pakai pada 2014 yang membolehkan Presiden mengambil langkah luar biasa jika keselamatan negara terancam.
"Kebebasan untuk melakukan perjalanan adalah hak dalam Perlembagaan yang diberi jaminan oleh saya. Tetapi, individu tersebut perlu memberi keterangan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa kehakiman sebelum dapat melakukan perjalanan ke luar negara," ujarnya ketika memberikan respons terhadap kritikan yang dilemparkan terhadapnya pada minggu lalu.
Ketika ini, kebanyakan rakyat Tunisia turut menyokong keputusan Saied membekukan imuniti ahli Parlimen yang dianggap wajar untuk memerangi rasuah dan kelas politik yang tidak cekap.
Pada Ahad, Arab Saudi berjanji untuk memberikan bantuan kepada Tunisia yang kini bergelut dengan krisis politik, ekonomi dan kesihatan di bawah langkah sokongan baharu terhadap Saied. - AFP