Skuad bola sepak wanita semangat tinggi kelayakan Piala Asia di Palestin

Iklan
Foto FAM

SKUAD bola sepak wanita Malaysia mungkin kurang persiapan, namun tetap bersemangat tinggi untuk bersaing pada pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang dijadualkan berlangsung di Palestin bulan depan.

Pemain berpengalaman Steffi Sarge Kaur Sarjan Singh berkata, ketika ini setiap pemain fokus pada misi mereka dan berharap mencipta keputusan yang baik dalam peringkat kelayakan walaupun baru memulakan latihan berpusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Pemain berusia 33 tahun itu, yang dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan selepas sedekad, mengakui gembira dapat kembali lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai muka baharu dan muda.

"Saya sangat gembira dapat bermain dan berlatih dengan mereka (pemain baharu), malah sebenarnya tidak sabar. Saya ingin lihat, bagaimana gabungan pemain muda dan senior ini di padang. Saya rasa setiap pemain yang berjaya mewakili pasukan kebangsaan mahu menang demi negara.

Iklan

"Jadi, satu-satunya matlamat saya adalah melakukan yang terbaik dan berharap pasukan kami dapat mencapai sesuatu di Palestin nanti. Fokus utama kami adalah beri 100 peratus dalam latihan dan pada hari kejohanan,” katanya dalam temu bual melalui video dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Selasa.

Seorang lagi pemain, Eva Olivianie Antinus berharap dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding penampilan terakhir mereka semasa Sukan SEA 2019 di Manila, apabila pasukan Malaysia kalah dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan A menentang Filipina dan Myanmar masing-masing dengan keputusan 5-0.

Iklan

"Setiap pemain perlu yakin, jika sejak dari awal sudah kurang yakin hasilnya tidak akan bagus. Harapan saya sekurang-kurangnya kita dapat bermain dengan lebih baik berbanding permainan terakhir dulu,” kata pemain asal Sabah berusia 20 tahun itu.

Pasukan Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H di peringkat kelayakan, akan berdepan dengan Thailand pada 19 Sept dan tuan rumah Palestin pada 22 Sept, kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Faisal Al-Husseini di Al-Ram, di Baitulmuqaddis.

Sementara itu, ketua jurulatih Jacob Joseph berkata, tiga daripada 28 pemain yang dipanggil berlatih akan digugurkan selepas Sabtu ini dan akan berpindah ke kem latihan di Majlis Sukan Negara pada Ahad, dengan 23 pemain akan dimuktamadkan sebelum berlepas ke peringkat kelayakan.

"Kami tahu Thailand sangat kuat malah pasukan itu pernah layak ke separuh akhir pada edisi 2018. Jadi, kami akan berusaha mengawal permainan untuk mengelakkan kekalahan besar, sebaliknya dengan Palestin kita mempunyai peluang 50/50.

"Saya sudah lihat video pasukan Palestin, walaupun mereka telah memulakan latihan dua bulan lalu sedangkan kami baru mula, kami yakin mampu beri saingan,” katanya.

Pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022 dijadualkan berlangsung 20 Januari hingga 6 Februari di India. -Bernama