SHAH ALAM- Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abd Hadi mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa pada Selasa.
Amir dalam ciapannya di Twitter berkata, peletakan jawatannya itu dibuat memandangkan beliau akan melanjutkan pengajian di United Kingdom dalam masa beberapa minggu lagi.
Susulan itu katanya, tugas-tugas Setiausaha Agung (SUA) akan diambil alih oleh Amira Aisya Abd Aziz yang juga Bendahari Agung Muda.
"Dengan ini saya ingin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Muda berkuat kuasa hari ini. Tugas-tugas SUA parti akan diambil alih Amira Aisya selaku SUA parti yang baharu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh anggota dan kader parti yang telah memberikan kerjasama baik membangunkan parti ini dari hari pertama. Sebagai manusia, sudah pasti banyak kekurangan sepanjang menggalas tanggungjawab ini. Harap dapat dimaafkan,” katanya.
Amir yang juga pengasas bersama parti itu berkata, parti itu dibina dengan idealisme bagi membawa perubahan.
Beliau turut mengharapkan agar semua ahli untuk terus kekal teguh dengan idealisme dan tidak sesekali terpesong dari landasan.