Lapan beradik yatim piatu terima faedah Perkeso

Iklan
Mohammed Azman menyerahkan bayaran FHUS kepada Muhammad Muzakkir.

RAWANG - Lapan beradik yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 pada Julai lalu telah dibantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan bantuan faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Skuad Perkeso Prihatin yang mendapat maklumat mengenai kisah tersebut mengambil tindakan proaktif dengan menyemak rekod caruman pasangan terbabit iaitu Allahyarham Ben Yajeed Bernie, 45, dan Allahyarhamah Noraini Ibrahim, 43.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil semakan mendapati kedua-dua mangsa merupakan pencarum Perkeso dan memenuhi syarat kelayakan faedah yang ditetapkan.

"Lapan beradik tersebut layak menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan bagi Allahyarham Ben Yajeed dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi Allahyarhamah Noraini Ibrahim.

Iklan

"Kedua-dua bantuan faedah ini telah mula dibayar dan akan terus dibayar kepada lapan beradik tersebut sehingga anak yang bongsu mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya ketika menziarahi keluarga tersebut di sini pada Selasa.

Lapan anak yatim piatu berkenaan ialah Nazurah Nabilah, 19, Muhammad Muzakkir, 18, Nurhani Nabilah, 16, Nurnasuhah Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Bennazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8 dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4.Mohammed Azman berkata, Allahyarham Ben Yajeed layak menerima bayaran pencen penakat yang akan dibayar secara bulanan walaupun telah berhenti mencarum pada tahun 2017 kerana memulakan kerja sendiri.

Iklan

"Allahyarhamah Noraini pula meninggal dunia kerana dijangkiti virus Covid-19 dari tempat kerja dan penyakit tersebut dikategorikan sebagai bencana kerja yang melayakkan warisnya menerima FOT,” kata beliau.

Mohammed Azman berbual bersama lima daripada lapan beradik itu pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso telah menyampaikan sekitar RM11.11 juta kepada lebih 11,700 penerima faedah yang terjejas akibat Covid-19 pada tahun 2021.

"Apabila Perkeso mendapat maklum tentang sebarang kes Covid-19, perkara pertama kita lakukan adalah memastikan status mangsa sama ada dia pencarum atau sebaliknya.

"Sekiranya mereka adalah pencarum, kita akan membantu mereka mendapatkan faedah yang selayaknya diterima dengan sesegera mungkin, sesingkat beberapa hari sahaja.

"Jika mangsa meninggal dunia, faedah tersebut akan dibayar terus kepada waris iaitu sama ada pasangan, anak-anak di bawah umur 21 tahun, ibu bapa, adik beradik di bawah umur 21 tahun, nenek atau datuk."Sekiranya waris yang ditinggalkan hanyalah anak-anak seperti kes pada hari ini, bayaran akan dimasukkan ke akaun anak yang sulung sekiranya telah berumur lebih 18 tahun. Sekiranya anak-anak tersebut di bawah umur, ia akan dibayar kepada waris yang menjaga mereka,” katanya.

Majlis ziarah di sini pada Selasa juga diadakan bagi penyerahan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang layak diterima oleh arwah ibu waris untuk tempoh sepanjang arwah dirawat di hospital, selain turut menyampaikan Kotak Prihatin berupa sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga berkenaan.

Pada Julai lalu, episod duka menimpa lapan beradik tersebut bermula apabila bapa mereka, Ben Yajeed menghembuskan nafas terakhir pada 16 Julai di Hospital Selayang akibat jangkitan Covid-19, diikuti dengan ibu, Noraini dengan punca yang sama menyebabkan mereka menjadi anak yatim piatu sekelip mata.