NABLUS - Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 15 tahun ketika pasukan keselamatan itu melakukan operasi menangkap seorang suspek yang diadakan pada Selasa.
Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan remaja itu, Imad Khaled Saleh Hashash meninggal dunia berikutan kecederaan akibat ditembak di kem pelarian Balata di Nablus, Tebing Barat.
Menurut kementerian itu lagi, Imad kemudian dihantar ke sebuah hospital sebelum diisytiharkan meninggal dunia.
Pengarah Unit Kecemasan di Persatuan Palang Merah Palestin di Nablus, Ahmad Jibril dilaporkan sebagai berkata bahawa tentera negara haram Israel menembak mati remaja terbabit ketika melakukan serbuan di kem pelarian tersebut.
Tentera Israel berkata, ia mengendalikan satu operasi pada waktu malam di kem pelarian tersebut untuk menangkap seorang suspek.
Menurut tentera berkenaan dalam satu kenyataan, satu rusuhan berlaku apabila penduduk Palestin membaling pelbagai objek dari bumbung sebuah rumah ke arah askar-askar Israel.
Ia menyatakan, semasa rusuhan tersebut, sejumlah askar dapat mengesan suspek itu di atas bumbung yang cuba membaling satu objek ke arah seorang anggota tentera Israel.
Salah seorang askar Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan mengenai remaja berkenaan.
Ketika itu, Imad sedang menyaksikan serbuan tersebut dari bumbung atas rumahnya dan dia ditembak di bahagian kepala.
Dalam pada itu, tentera Israel tidak menjelaskan kenapa suspek itu mahu ditangkap oleh rejim Zionis. - Agensi