'Pergi' selepas urus jenazah Covid-19

Iklan
Muhammad Zikry meninggal dunia selepas terbabit dałam nahas di simpang Jabatan Pengangkutan Jalan-PPV PLAK, Sungai Petani pada Selasa.

SUNGAI PETANI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Muda hilang 'sebutir permata' setelah kematian Prebet (PA) Muhammad Zikry Zafuan dalam kemalangan pada Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad menjelaskan, arwah yang tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 25 Ogos merupakan seorang yang rajin melakukan kerja amal, bijak dan berkebolehan dalam bidang menyelamat selain berpengetahuan luas dalam pertahanan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehilangan amat dirasai warga APM malah rakan-rakan agensi lain yang pernah bertugas bersama kerana keperibadian tinggi arwah yang sentiasa kemas dan menepati masa.

"Arwah menyertai APM pada 31 Mac 2018, sentiasa ceria, mempunyai potensi tinggi dalam kepimpinan serta mudah bergaul dengan anggota dan pegawai.

Iklan

"Seorang yang berinovasi dan kreatif di mana berusaha membuat vest dan topi penyelamat dengan perbelanjaan sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Azahar, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan dari anggota APM yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (PLAK) mengatakan terdapat anggota PKOD terbabit kemalangan di lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada jam 4.55 petang Selasa.

Iklan
Kemalangan babitkan sebuah treler dan motosikal yang dinaiki mangsa di simpang Jabatan Pengangkutan Jalan-PPV PLAK, Sungai Petani.

"Arwah baharu sahaja selesai menjalankan tugasan pengurusan jenazah Covid-19 di Kampung Bujang, Bukit Selambau, Kedah sekitar jam 4 petang dan dalam perjalanan pulang ke rumah sebentar di Bandar Puteri Jaya untuk menukar pakaian Nombor 4 yang baru bagi meneruskan tugasan di PKOD bagi syif kedua bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan keterangan saksi, sebuah treler yang datang dari arah Taman Sejati ke arah Mydin tidak berhenti ketika lampu isyarat merah menyebabkan pelanggaran dengan mangsa yang menunggang motosikal dari arah PPV PLAK ke arah Kuala Ketil.

"Akibat kemalangan, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Jenazah dijadualkan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halaman keluarga di Jeli, Kelantan.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.