KUANTAN - Prestasi Nilai Perdagangan di Pahang meningkat sebanyak RM3.48 bilion pada tahun lalu susulan pertumbuhan positif membabitkan beberapa produk perdagangan eksport dan import utama negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumber perdagangan utama terdiri daripada eksport dan import negeri yang bernilai RM42.2 bilion pada tahun lalu.
Menurutnya, nilai eksport di negeri berjumlah RM28.8 bilion tahun 2020 meningkat sebanyak 13.5 peratus berbanding RM25.5 bilion tahun sebelumnya.
"Antara eksport barangan utama Pahang ialah berasaskan besi dan keluli bernilai RM10.5 bilion dengan pertumbuhan positif kepada RM10.492 bilion pada 2020 berbanding tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak 166.4 peratus.
"Barangan elektrik dan elektronik yang meningkat kepada 12.7 peratus (RM863 juta) dan keluaran petroleum bertapis juga meningkatkan kepada 16.4 peratus (RM571 juta) serta Oleokimia berasaskan kelapa sawit menurun 21.8 peratus, manakala minyak kelapa sawit berlaku penurunan 23 peratus atau RM1.978 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lee Ah Wong (DAP- Cheka) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama ke-14 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan, bagi nilai import pula meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada RM13.7 bilion berbanding RM13.6 bilion pada 2019.
Jelasnya, import barangan utama di Pahang tahun lalu bagi keluaran petroleum bertapis meningkat sebanyak 35.6 peratus berbanding pada 2019 sebanyak RM1.338 bilion.
"Peningkatan ini diikuti saluran, paip dan pemasangan besi atau keluli sebanyak 26.6 peratus serta barangan elektrik dan elektronik 30.4 peratus.
"Selain itu, bagi import barangan keluaran besi gelek rata atau keluli meningkat 56.6 peratus dan motorbas serta lori yang belum dipasang bertapis pula menurun sebanyak 34.7 peratus," katanya.
Sebelum itu, Ah Wong meminta penjelasan daripada kerajaan Pahang mengenai sumber perdagangan yang menyumbang kepada peningkatan nilai perdagangan di negeri ini.
Beliau meminta agar kerajaan negeri Pahang membandingkan nilai perdagangan itu bagi tahun 2019 dan 2020.