Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat teksi

Iklan

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes rasuah pada Rabu.

Hakim Rozilah Salleh mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh yang berusia 55 tahun itu.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, tertuduh dimaklumkan perlu hadir Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu.

Namun, dilaporkan tidak hadir kerana dijangkiti Covid-19 pada 3 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 7 hingga 11 Ogos.

Iklan

Lelaki itu kemudiannya dibebaskan dan masuk ke Hospital Prince Court pada 12 hingga 23 Ogos dan sedang berehat dengan sijil sakit yang dikeluarkan hospital.

Rozilah berkata, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap kerana prosedurnya kini berbeza.

Iklan

Menurutnya, tertuduh sudah dibenarkan pulang oleh pihak hospital dan pemberian masa selama dua minggu oleh mahkamah untuk serah diri adalah memadai.

"Tertuduh dikehendaki mengemaskini aplikasi MySejahtera, sijil sakit tidak memadai dan mahkamah mahukan status kesihatan tertuduh yang terkini,” katanya.

Sementara itu, Datuk itu yang diwakili peguam, Putri Aisyah Zahirah Zakrya berkata, anak guamnya tidak dapat hadir kerana selain dijangkiti Covid-19, dia turut mendapatkan rawatan kanser kolon.

"Saya memohon maaf kerana menyerahkan sijil cuti sakit lewat semalam kerana pihak kami memperoleh dokumen itu, petang semalam,” katanya.