KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada 122.5 pada Julai 2021 dan kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari 2021 berikutan kesan asas rendah pada tahun lepas.
Dalam kenyataan pada Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, angka tersebut meningkat daripada 119.9 bagi tempoh sama tahun lepas dan merupakan pertumbuhan lebih menyederhana berbanding peningkatan 3.4 peratus pada Jun 2021.
Menurutnya, antara faktor peningkatan sederhana itu adalah diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa 1 Julai 2021.
"Bagaimanapun, IHP kekal positif memandangkan terdapat kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada Julai 2021 berbanding setahun lepas,” katanya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IHP didorong terutamanya oleh kenaikan dua digit atau 11.6 peratus dalam kumpulan pengangkutan berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter sejak Mac lepas berbanding harga purata RM1.69 pada Julai 2020.
"Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus),” katanya.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2021, IHP meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, indeks teras pula meningkat 0.7 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sama pada 2020.
Menurutnya, ini didorong oleh kumpulan seperti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.1 peratus); pengangkutan (1.0 peratus); restoran dan hotel (0.7 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6 peratus); kesihatan (0.4 peratus), pendidikan (0.1 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.1 peratus).
"Indeks teras ini meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu selain harga yang dikawal,” kata beliau.
Selain itu, IHP tanpa bahan api bagi Julai 2021 meningkat 0.8 peratus kepada 113.2 berbanding 112.3 pada bulan sama tahun sebelumnya.
"IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel,” katanya.
Dalam pada itu, lima negeri iaitu Terengganu (2.8 peratus), Pahang (2.5 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4 peratus), Kelantan (2.4peratus) dan Sarawak (2.3 peratus) menunjukkan peningkatan dengan melepasi paras IHP nasional 2.2 peratus pada Julai 2021 berbanding tempoh sama pada 2020.
Semua negeri tersebut mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, demikian menurut jabatan itu.
"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0 peratus) manakala negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding tempoh sama pada 2020,” katanya. - Bernama