PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Agenda kepentingan rakyat menjadi tumpuan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin- pemimpin pembangkang pada Rabu.
Menurut Ismail Sabri, ia bagi mencari titik persamaan terbaik untuk menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa, keselamatan diri dari ancaman wabak selain membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan serta pendapatan.
"Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus serta memenuhi kehendak rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ismail Sabri bersama Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu turut bersetuju dan memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi serta tatakelola kerajaan yang baik.
"Ini bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia," katanya.
Pertemuan Ismail Sabri bersama Anwar, Guan Eng dan Mohamad yang berlangsung di pejabatnya bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang.
Ia bagi merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.
"Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Seri Paduka Baginda," katanya.
PM bertemu pemimpin PH di Pejabat Perdana Menteri