NEW DELHI - Seramai 16 orang yang dipindahkan dari Afghanistan dan tiba di New Delhi didapati positif Covid-19, lapor media tempatan pada Rabu.
Mereka adalah sebahagian daripada 78 orang yang dibawa keluar dan tiba di New Delhi pada Selasa, menurut Xinhua.
Ujian saringan dilakukan sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi dan kesemuanya dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kesemua 16 yang positif itu didapati tidak bergejala," menurut laporan media.
Sehingga kini 626 orang termasuk 228 warga India dan 77 rakyat Afghanistan dari komuniti Sikh telah dibawa keluar dari Afghanistan.
Kementerian Kesihatan Persekutuan pada Isnin mengeluarkan arahan mereka yang tiba dari Afghanistan perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya 14 hari.
Kerajaan India bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Afghanistan.
Kabul jatuh ke tangan Taliban pada 15 Ogos selepas Presiden, Mohammad Ashraf Ghani meninggalkan negara itu. - Bernama