ATM baik pulih surau, pasang Jalur Gemilang

Iklan
Anggota ATM mengecat dan memasang Jalur Gemilang di Surau Ar-Rajihah Al-Islamiah di Kampung Dusun Nyiur, Seremban.

SEREMBAN - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menterjemahkan semangat kemerdekaan mereka melalui Projek Jiwa Murni dengan memasang Jalur Gemilang dan membaik pulih Surau Ar-Rajihah Al-Islamiah di Kampung Dusun Nyiur di sini, pada Rabu.

Program yang melibatkan seramai 10 anggota tentera dari Kem Terendak, Melaka itu dijangka mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Iklan
Iklan

Wakil ATM yang juga Penyelia program, Sarjan Shaipulnizam Mohamad berkata, program itu merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pertahanan yang turut membabitkan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah, penyelenggaran dewan, tanah kubur, masjid dan surau.

"Kerja-kerja baik pulih di surau ini kami fokuskan pada kerja mengecat bahagian dalam dan luar surau.

Iklan

"Memandangkan kini adalah Bulan Kemerdekaan, kita juga akan membantu ahli jawatankuasa surau menghias surau ini dengan Jalur Gemilang sekali gus dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui pada majlis Santai Pagi dan Kibarkan Jalur Gemilang bersama ATM di Kampung Dusun Nyiur di sini pada Rabu.

Anggota ATM bergotong-royong dengan penduduk memasang Jalur Gemilang di Surau Ar-Rajihah Al-Islamiah di Kampung Dusun Nyiur, Seremban.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Mustafa Salim dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Dusun Nyiur, Mohd Zairi Abdul Razak.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Surau Ar-Rajihah Al-Islamiah, Shamsudin Ismail berkata, surau itu beroperasi sejak 2007, namun tidak pernah dibaik pulih kerana kekurangan dana.

"Bila kami diberitahu yang ATM memilih surau ini untuk dibaik pulih di bawah Projek Jiwa Murni ATM, kami sangat bersyukur.

"Tambahan pula kini adalah Bulan Kemerdekaan dan kehadiran anggota ATM ini sedikit sebanyak menambah semangat buat penduduk untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang," katanya.