JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 26 kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP, Mohd Hanizam Kechek berkata, kesalahan tersebut dikesan sepanjang penguatkuasaan pematuhan SOP PKP yang dijalankan mulai 13 Mei tahun lalu hingga Selasa.
"Sepanjang tempoh tersebut sebanyak 65,036 premis meliputi sektor peruncitan, pemborongan dan pengilang di seluruh negeri telah diperiksa.
"Keseluruhan nilai daripada 26 kompaun terbabit ialah RM129,500.
"Kompaun RM10,000 secara serta-merta akan diambil jika didapati berlaku ketidakpatuhan SOP," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, Mohd Hanizam bersama 10 orang anggota penguatkuasa melakukan tinjauan dan pemeriksaan di pusat beli-belah di Tebrau pada Rabu.
Pemeriksaan yang sama juga dijalankan secara serentak di semua cawangan KPDNHEP Johor yang melibatkan seramai 200 anggota penguat kuasa.
Menurut Mohd Hanizam, pihaknya telah menggerakkan Op Samar dengan anggota penguat kuasa berpakaian preman dan menyamar sebagai pelanggan bagi melakukan pemeriksaan di premis.
"Pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pelanggan dilakukan supaya pembukaan sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan Covid-19.
"Kompaun yang dikenakan pula bertujuan memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19," katanya.