Agong berkenan serah kunci Rumah Yayasan al-Sultan Abdullah

Iklan
Al-Sultan Abdullah (tiga, kanan) dan Tengku Hassanal (kanan) berkenan melihat sekitar kawasan rumah bersama penerima rumah, Mohd Khanafiah Abu Bakar (dua, kanan) di Kampung Sungai Ganchong pada Rabu. - Foto Bernama

PEKAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, di sini.

Ketibaan baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Iklan
Iklan

Seri Paduka turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu yang rumah mereka sebelum ini mengalami kerosakan teruk ketika banjir buruk melanda Pahang awal tahun ini.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat berkeluasan 182 meter persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan yang selesa dan disertakan perabot.

Iklan

Semasa kunjungan tersebut baginda turut berkenan membantu penduduk dua kampung berkenaan yang terdiri daripada asnaf, warga emas, orang kelainang upaya (OKU) dan ibu tunggal selain turut mengurniakan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Ibu tunggal, Nur Hasnah Md Yunos yang menetap di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini sejak 40 tahun lepas sama sekali tidak menjangka menerima kurniaan yang dianggapnya terlalu besar ketika meniti usia 60 tahun.

Iklan

"Memang tak sangka dalam umur yang macam ini saya terima bantuan sebiji rumah, lengkap serba serbinya perabot termasuk set bilik tidur. Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) turut kirim cadar dan pinggan mangkuk, walaupun tidak hadir baginda masih ingat saya.

"Kediaman ini sangat selesa untuk kami anak beranak tinggal dan saya amat menghargai dan tidak akan melupakan jasa baginda berdua," kata ibu kepada empat anak itu.

Al-Sultan Abdullah (tengah) dan Tengku Hassanal (kiri) berkenan melihat sekitar kawasan rumah bersama penerima rumah, Norhasnah Md Yunos (tiga, kanan) di Kampung Sungai Ganchong pada Rabu. - Foto Bernama

Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, pula menganggap kurniaan Al-Sultan Abdullah ibarat mimpi dan menjunjung kasih atas keprihatinan baginda yang turut mencemar duli turun padang melihat sendiri hasil pembinaan rumah berkenaan.

"Pada Februari lepas baginda sudah berangkat ke sini untuk melihat kesan banjir dan tapak yang sesuai untuk dibina rumah baharu, dan selepas enam bulan baginda kembali melihat semula kediaman saya yang siap dibina.

"Saya boleh diibaratkan hanya cuci kaki masuk rumah ini cuma bawa masuk barang elektrik dan baju sahaja, yang lain sudah tersedia," katanya yang bekerja sebagai peladang.

Sementara itu, warga emas Wahab Ali, 86, dan anaknya Mohd Shukri, 58, seorang bekas anggota polis yang hilang upaya akibat kemalangan begitu gembira dan teruja menerima kunjungan Al-Sultan Abdullah.

"Menjunjung kasih atas kurnia dan masa yang baginda luangkan bersama saya serta keluarga, dapat tengok Agong depan mata tentunya saya amat gembira dan bersyukur," kata bekas anggota tentera yang mempunyai 15 orang anak itu.

Peniaga Mohd Khairi Othman, 45, yang juga OKU pula berkata, beliau amat mengagumi peribadi Al-Sultan Abdullah yang ramah, baik hati dan prihatin akan nasib rakyat serta sering turun padang menyantuni masyarakat. - Bernama

Al-Sultan Abdullah (duduk dua, kanan) dan Tengku Hassanal (duduk, kanan) beramah mesra dengan keluarga Wahab Ali, 86, ketika Seri Paduka berkenan menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kurang berkemampuan di Kampung Tanjung Pulai pada Rabu. - Foto Bernama