JOHOR BAHRU - Persefahaman dan kenyataan bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dalam menyelesaikan kemaslahatan negara adalah permulaan era baharu yang sangat positif.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persetujuan bersama itu berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia.
"Politik Malaysia tidak boleh lagi dalam takuk yang lama. Paradigma baharu dalam amalan demokrasi kita mesti harus lebih luwes, terbuka dan progresif.
"Prejudis terhadap pembangkang mesti berakhir. Begitu juga persepsi negatif terhadap kerajaan harus berubah.
"Semua adalah rakan penting dalam kesuburan demokrasi dan tatakelola yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Perdana Menteri dan PH pada Rabu mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Menurut Ismail Sabri, kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan beliau bersama pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).
ARTIKEL BERKAITAN: Agenda kepentingan rakyat tumpuan pertemuan PM, pembangkang
Mohamed Khaled berharap, langkah besar itu yang dimulakan Perdana Menteri akan disusuli dengan pelbagai tindakan lebih terangkum daripada kedua-dua pihak.
Malaysia katanya, adalah milik semua dan semua pihak mesti bersepakat.
"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat," ujar bekas Menteri Besar Johor itu.