JOHOR BAHRU - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mendengar lagu Ziana Zain untuk menenangkan dirinya sebelum mendapat suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini pada Rabu.
Ariyanti Abdul Samad, 37, yang merupakan OKU sindrom down mendengar lagu Ziana Zain dalam kereta yang dipandu kakaknya, Azlina, 46, sebaik keluar dari rumah di Senai ke PPV itu bagi mengurangkan perasaan takut.
Azlina Abdul Samad yang menemani Ariyanti lega apabila taktik itu berjaya dan proses suntikan vaksin dapat disempurnakan tanpa sebarang masalah.
"Adik saya memang suka dengar lagu Ziana Zain, jadi saya dengarkan lagu nyanyian penyanyi itu sepanjang perjalanan untuk bagi adik tenang dan tidak terlalu memikirkan tentang jarum suntikan.
"Proses untuk menerima vaksin di PPV Pandu Lalu ini juga menjadi sangat mudah dan lancar memandangkan petugas-petugasnya pandai mengendalikan individu OKU," katanya ditemui di PPV tersebut.
Aryanti merupakan antara 400 penerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV tersebut yang memulakan operasi pada Rabu.
Pembukaan PPV itu disempurnakan Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi diiringi Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Khairun Ahmad.
Azlina berkata, walaupun Aryanti berasa gementar namun dia tetap memberi kerjasama baik kepada petugas di PPV berkenaan.
Sementara itu, L Mohana, 31, pula berkata, pembukaan PPV itu khusus buat individu OKU sepertinya adalah suatu langkah positif dalam memastikan golongan berkenaan turut diberi perlindungan daripada wabak Covid-19.
"Biasalah mula-mula memang rasa sedikit gemuruh, itu normal tetapi selepas disuntik saya berasa lega kerana proses menerima vaksin telah selesai.
"Saya juga harap PPV pandu lalu seperti ini diperluas di banyak lokasi lain bagi memudahkan golongan OKU seperti kami," katanya yang kehilangan tangan kiri sejak 2014 akibat kanser tulang.
PPV itu akan memberikan suntikan vaksin kepada seramai 20,000 penerima sepanjang dua bulan ia beroperasi serta dikhususkan kepada golongan OKU dan warga emas serta penjaga mereka.