IPOH - Sempena bulan kebangsaan, warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh bersemangat mengadakan pelbagai aktiviti dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.
Pengarahnya, Dr Yahya Osman berkata, program Semarak Merdeka Hari Malaysia diadakan selama sebulan bermula Jumaat lalu bagi meningkatkan penghayatan masyarakat terutama bakal guru akan semangat negara bangsa.
"Program sebegini memberi ruang dan peluang kepada warga IPG dan masyarakat mengikuti, mencerna dan menghadam idea berkaitan negara.
"Selain memperoleh informasi daripada pelbagai aspek termasuk budaya dan sosial, ia menggalakkan budaya celik IT dalam kalangan pendidik dengan menterjemahkan perasaan cintakan negara melalui pertandingan yang dianjurkan," katanya.
Menurutnya, meskipun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, penganjuran program-program yang direncanakan akan dilakukan secara maya.
"Sebelum ini kita adakan pelbagai acara di dalam dewan seperti bacaan puisi, pantomin, serta countdown pada ambang Hari Kebangsaan.
"Kemudahan teknologi terkini digunakan untuk menjayakan program antaranya webinar Kemerdekaan dan penghayatan Rukun Negara, seni gambar gunting Kemerdekaan, kuiz serta wacana sejarah dan darah Lahad Datu.
"Kesemua program dan pertandingan melibatkan kategori siswa guru, pensyarah dan kakitangan IPG ini sendiri," katanya.
Yahya berkata, penganjuran program itu akan memberi peluang kepada peserta untuk berbincang dan berkongsi amalan terbaik dalam merealisasikan penghayatan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
"Matlamat program ini akan memberi kesedaran kepada bakal guru yang diibaratkan seperti seorang jurutera yang akan membentuk generasi akan datang.
"Kita memfokuskan aspek seperti ini supaya sikap patriotik dapat dibentuk lebih mantap kerana peranan guru penting dalam pembinaan modal insan negara," katanya.