KUANTAN - Petugas media masih menunggu kehadiran Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka akan mengadap Yang dipertuan Agong Al sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada pagi Khamis.
Difahamkan, sesi menghadap itu adalah bagi Ismail Sabri mengemukakan senarai cadangan barisan kabinet kerajaan Persekutuan yang diterajui beliau selepas mengangkat sumpah petang Sabtu lalu.
Rata-rata petugas media berada di pekarangan luar istana seawal jam 9 pagi agar supaya tidak terlepas membuat laporan situasi semasa yang berlaku di sini.
Keadaan di sini tenang dan terkawal dan para petugas media juga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai dua lapis penutup mulut dan hidung serta mengamalkan jarak fizikal antara satu sama lain bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Lawatan Perdana Menteri ke-9 itu nyata mencuri tumpuan media berikutan ia merupakan merupakan lawatan sulung beliau ke Pahang sejak dilantik sebagai Perdana menteri.
Ahli Parlimen Bera itu dijadualkan mengadakan mesyuarat kabinet pertama selepas dilantik Perdana Menteri, pagi esok.
Pada Khamis, beliau mengadakan pertemuan selama kira-kira lebih sejam bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) diketuai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di pejabatnya di Putrajaya.
Melalui kenyataan bersama antara Anwar, Mohamad dan Guan Eng selepas pertemuan itu memaklumkan gabungan blok pembangkang sedia mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Kata tiga pemimpin tertinggi komponen PH itu, pertimbangan terbabit adalah bagi memastikan keputusan dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat kepada pandangan kerajaan semata-mata.