KUALA LUMPUR -"Segera dapatkan suntikan vaksin," itu saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyifatkan langkah itu untuk menyelamatkan diri dari Covid-19.
Menerusi catatan baharu di blog peribadinya, Ahli Parlimen Langkawi itu turut menggesa agar rakyat Malaysia terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Iklan
Iklan
Walaupun sukar dan agar tertekan dengan keadaan ketika ini, jelas Dr Mahathir, sekiranya arahan ini tidak diamalkan, lebih ramai yang akan dijangkiti dan jumlah kematian juga meningkat.
"Sehingga kini sudah 12,000 orang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19. Ramai yang tidak dapat dirawat di hospital dan menjadi teruk dan meninggal dunia. Ramai yang tak dapat makan, jauh sekali daripada pendapatan. Oleh kerana keadaan ini orang ramai perlu pandang serius wabak ini dan sanggup menerima segala tindakan untuk kurangkan kes baharu.
"Memang menekan apabila mengamal prosedur operasi standard (SOP). Memang sukar untuk patuh arahan memisah diri dengan jauh daripada orang lain sepanjang masa, memakai pelitup muka, membasuh tangan. Memang sukar untuk tidak ke pasar dan lain-lain.
"Tetapi jika tidak sanggup mengamal arahan ini, lebih ramai akan dijangkiti, dan maut setiap hari," ujarnya.
Apa yang penting jelasnya, SOP membantu untuk mengawal penularan namun vaksin adalah lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa.