PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memberikan bayangan akan meninggalkan kelab itu dan tidak menyambung kontraknya yang akan berakhir pada 2023.
Guardiola juga sedang menimbangkan tawaran untuk mengendalikan pasukan kebangsaan selepas meninggalkan Etihad.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu sebelum ini telah menandatangani kontrak tambahan untuk dua tahun pada November 2020 yang menjadikan dia akan berada di kelab itu untuk tempoh tujuh tahun tempoh paling lama berbanding pasukan lain yang pernah dikendalikannya.
"Langkah seterusnya dalam karier saya sudah tentu pasukan kebangsaan. Ada kemungkinan untuk saya melatih pasukan kebangsaan.
"Saya memerlukan rehat selepas tujuh tahun bersama City. Saya perlu berhenti dan melihat sekeliling, belajar daripada jurulatih yang lain dan mengambil jalan yang berbeza. Saya mahu menjadi jurulatih untuk pasukan yang beraksi Euro, Copa America dan Piala dunia," katanya.
Dalam masa sama, Guardiola turut melihat Brazil sebagai sebuah pasukan cukup lengkap namun tidak terlalu mengharapkan untuk melatih pasukan itu.
"Brazil adalah sebuah pasukan hebat. Saya sendiri pernah bekerja bersama beberapa pemain Brazil. Saya fikir jurulatih Brazil sudah pasti selalunya rakyat Brazil sendiri. Saya tak nampak jurulatih asing mengendalikan pasukan seperti Brazil," katanya.
Guardiola mengendalikan City sejak 2016 selepas mengambil alih daripada Manuel Pellegrini dan telah mencipta banyak kejayaan di kelab tersebut termasuk tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Empat Piala Liga Inggeris dan Piala FA.