SHAH ALAM – Masyarakat diseru untuk mengawal penggunaan gajet kerana ia dibimbangi boleh memutuskan tali silaturahim sesama manusia.
Menurut Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub, gajet seharusya digunakan untuk tujuan kebaikan.
"Ada orang marah, dia unfriend (menerusi gajet) dan ini memutuskan silaturrahim. Saya rasa kena ada had (penggunaan gajet) dan kena kembali pada yang asas.
"Kita manusia kena bercakap secara terus, kena ada eye contact, duduk semeja seperti makan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Better Family, Better Nation yang disiarkan menerusi Facebook TickTalk TV pada Rabu.
Turut menjadi panel, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Namanzee Harris dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail manakala Zaim Zamri bertindak sebagai moderator.
Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf turut mengakui gajet telah merubah generasi pada masa kini.
"Pasal saya tengok ikatan kakitangan Karangkraf lama berbeza dengan yang baharu. Dulu kita banyak bersama, banyak berbual, banyak berkomunikasi, makan bersama, kalau lelaki bermain bola dan perempuan bermain bola jaring.
"Sekarang kalau ada main telefon bimbit. Saya rasakan ini akan memutuskan hubungan manusia,” katanya.
Bagaimanapun katanya, gajet digunakan untuk memudahkan atau menyenangkan kerja seseorang manusia.
"Bukan menyukarkan kerja kita dengan memutuskan hubungan. Gajet itu boleh, tapi berpada-pada. Manusia itu lebih penting,” ujarnya.