Aming pesan ibu tutup aurat sebelum meninggal

Iklan
Video Aming diulang siar oleh Ismail Sabri sehingga tular semula di Facebook pada Februari lalu.

KOTA KINABALU - Kanak-kanak yang pernah tular di media sosial menerusi videonya yang petah berkata-kata sambil memberi nasihat dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Tawau pada awal pagi Khamis.

Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berusia lapan tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi.

Iklan
Iklan

Perkara itu disahkan ibunya, Santi Sabri, 33, ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Santi, anaknya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Iklan

Katanya, sebelum ini anaknya itu berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.

"Tiada juga apa-apa, cuma dia makan mi segera saja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit.

Iklan

"Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat," katanya.

Perkhabaran duka kematian Aming turut tular di media sosial pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Video nasihat si cilik dapat perhatian

Dia berkata, anak bongsunya itu turut sempat memberi pesanan kepadanya supaya menutup aurat dengan sempurna.

"Sebelum meninggal dunia, sempat lagi dia berpesan kepada saya, tutup rapat-rapat aurat supaya bapa tidak menanggung dosa.

"Saya tidak sangka anak saya pergi begitu saja, sebelum dia meninggal, saya dan suami ada di sisinya," luahnya dengan hiba.

Ujar Santi, jenazah anaknya akan dikebumikan terus di tanah perkuburan Kampung Titingan sebaik selesai untuk pengurusan jenazah.

Sebelum itu, Sinar Harian pada 3 Februari lalu pernah melaporkan kisah Allahyarham apabila video-video yang dirakamnya banyak berunsur nasihat termasuk situasi terkini berkaitan pandemik Covid-19.

Salah satu videonya turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.

Video berunsur nasihat supaya orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) memakai pelitup muka dimuat naik melalui Facebook miliknya pada 27 Oktober tahun lalu telah diulang siar dan tular di media sosial.