PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas membelasah West Bromwich Albion 6-0 dalam saingan pusingan kedua Piala Liga awal pagi Khamis.
Menurutnya, The Gunners tampil dengan sikap dan persembahan yang cemerlang selepas permulaan hambar dua kekalahan dalam perlawanan awal saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Sikap yang dimiliki pasukan sejak daripada awal adalah sangat bagus, mereka bekerja keras dan saling bersama untuk kembali menjadi sebuah pasukan yang bagus.
"Kami semua kecewa kerana tidak menang dua perlawanan dalam EPL. Tetapi, saya gembira dengan sikap pemain dan apa yang telah mereka tunjukkan hari ini.
"Apabila anda kalah, perkara paling penting adalah untuk menang perlawanan seterusnya dan itu yang telah dilakukan oleh pemain pada hari ini.
"Kemenangan ini memberikan keyakinan, kami juga tidak bolos dan menjaringkan gol yang bagus. Secara keseluruhan ia adalah hari yang positif buat pasukan," katanya.
Dalam perlawanan itu, Pierre-Emerick Aubameyang meledak hatrik dan masing-masing satu gol daripada Nicolas Pepe, Bukayako Saka dan Alexandre Lacazette untuk kemenangan bergata The Gunners.
Dalam pada itu, Aubameyang menegaskan kemenangan tersebut sebagai tindak balas pantas selepas permulaan hambar dalam saingan liga dan percaya Arsenal berada pada landasan terbaik untuk bangkit.
"Ia satu perasaan yang bagus dan saya sangat gembira kami menang hari ini. Ia sangat penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan. Kami tahu kami bermula teruk dalam saingan liga, tetapi apa yang boleh saya katakan pemain memberikan komitmen 100 peratus.
"Kami akan cuma memberikan sehabis baik, memberikan kepada penyokong apa yang mereka mahukan dan menang perlawanan," katanya.