GEORGETOWN- Pengguna air di Pulau Pinang kini boleh membayar bil air melalui aplikasi mudah alih 'myPBA' atau di laman web 'myPBA' tanpa sebarang tambahan bayaran transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya akan menanggung caj transaksi sebanyak 60 sen setiap pembayaran yang mana, sebelum ini caj itu dibayar oleh pengguna.
"Tujuan utama PBAPP menanggung pembayaran caj transaksi itu adalah bagi menggalakkan lebih ramai pengguna air menjelaskan bil air mereka secara dalam talian.
"Memandangkan pandemik Covid-19 yang masih aktif ketika ini, kami menggalakkan pembayaran bil air dalam talian sebagai pilihan terbaik dan paling selamat untuk semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, bayaran minimum untuk pembayaran dalam talian (melalui e-perbankan atau kad kredit) adalah RM5 untuk semua transaksi melalui aplikasi mudah alih berkenaan.
"Pembayaran boleh dilakukan melalui e-banking atau kad kredit menerusi aplikasi mudah alih 'myPBA' atau laman web 'myPBA'. Pengguna dengan peranti iOS atau Android boleh memuat turun aplikasi mudah alih 'myPBA' dari Apple App Store atau Google Play Store.
"Aplikasi ini membolehkan pengguna melihat dan membayar beberapa akaun (air) dengan satu pendaftaran emel. Aplikasi ini juga membolehkan pengguna membuat aduan mengenai masalah bekalan air, melihat kapasiti efektif tiga empangan utama Pulau Pinang dalam talian, mengakses senarai tukang paip berdaftar dan mencari pusat khidmat pelanggan PBAPP terdekat jika mereka memerlukan bantuan," katanya.
Jaseni berkata, aplikasi itu juga membolehkan pengguna mengetahui status perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang selain mengetahui kemas kini berkala mengenai kerja-kerja air dan operasi pembaikan saluran paip.
Tambahnya, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 042558255 untuk pertanyaan dan bantuan.