Ceroboh Pangkalan TUDM curi kabel elektrik

Iklan
Kabel elektrik dan tembaga turut ditemui di luar tembok di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua orang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pencerobohan jenayah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu disedari oleh pengawal yang bertugas di pangkalan udara tersebut sebelum membuat aduan pada jam 12.22 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Dua orang suspek dilihat dalam keadaan yang mencurigakan di perimeter kawasan perumahan keluarga angkatan tentera. Pengadu cuba mengejar kedua-dua suspek tetapi tidak berjaya.

"Pemeriksaan lanjut di luar tembok lokasi kejadian menemui dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Future yang disyaki telah digunakan suspek untuk melakukan jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan
Telefon bimbit dan peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur pada Rabu.

Basri berkata, pihaknya turut menemui dua bekas berisi tembaga dan kabel elektrik yang disyaki dicuri dari dalam kawasan pangkalan udara tersebut.

Sementara itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan peralatan yang digunakan oleh suspek semasa tangkapan dibuat.

Iklan

"Kedua-dua suspek yang berusia 19 hingga 35 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Sehubungan itu, polis memohon perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Majistret Kuala Lumpur pada Khamis.