JPJ Kelantan sasar RM600,000 kutipan diskaun kompaun

Iklan
Hanif (kiri) bersama Eddie memasang bendera di sebuah motosikal milik JPJ di sini pada Khamis.

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mensasarkan kutipan RM600,000 bagi kes saman kompaun atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi diskaun 70 peratus yang ditawarkan kerajaan selama sebulan bermula 17 Ogos lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusoff berkata, sejak dilaksanakan sehingga Rabu, JPJ Kelantan berjaya mengutip RM54,273 melibatkan pelbagai saman kesalahan yang boleh dikompaun.

Iklan
Iklan

"Potongan atau diskaun kompaun ini akan berlangsung sehingga 16 September ini dan kami meminta orang ramai untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi menyelesaikan saman-saman tertunggak," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hanif berkata, JPJ Kelantan berjaya mengutip hasil kompaun sebanyak RM718,764 pada tahun lalu melibatkan 9,880 jumlah transaksi selama sebulan bermula 3 Ogos sehingga hujung September.

Iklan

Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga berjaya mengutip RM140,600 melalui perkhidmatan bayaran pandu lalu disediakan sejak 16 Ogos lalu.

"Sebanyak 1,842 buah kenderaan telah menggunakan perkhidmatan yang kami sediakan ini dan rata-rata masyarakat menyambut baik inisiatif tersebut.

Iklan

"Langkah ini juga dapat memudahkan orang ramai di mana mereka tidak perlu membuat janji temu dan tidak perlu bersesak di kaunter sekali gus memudahkan urusan terutama berkaitan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu," katanya.

Sebelum itu, Hanif bersama Kelab Peminat Eddie Hamid Pantai Timur membuat gimik Agihan Jalur Gemilang Pandu Lalu sebagai tanda menyemarakkan lagi sokongan kepada Bulan Kemerdekaan kali ini.

Turut hadir, komposer Datuk Eddie Hamid dan Pengerusi Kelab Peminat Eddie Hamid, Mohd Rozi Abd Rahman.