JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sudah mempunyai cadangan untuk menggantikan sumber bekalan air terawat yang sebelum ini diperolehi dari Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, perancangan bagi menampung bekalan air secara sendiri itu akan dimuktamad dalam tempoh yang terdekat.
"Sentuh sedikit mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan bahawa telah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.
"Tetapi perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya hingga perancangan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penutup Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor Bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga barisan Menteri Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Difahamkan ketika bersama-sama dalam sesi pemukiman itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Johor mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu pembelian air terawat daripada Singapura.
Mengenai sesi pemukiman itu, Osman berkata, progam yang berlangsung selama dua hari bermula 28 Februari hingga 1 Mac berjaya mencapai objektif penganjurannya
"Program ini secara keseluruhan telah berjaya mencapai objektif iaitu meningkatkan tahap kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
"Banyak idea dan pandangan bernas yang telah dilontarkan oleh barisan kepimpinan Johor dan juga anggota pentadbiran persekutuan," katanya lagi.