Tren pendaratan ikan negara semakin pulih: DOF

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Tren pendaratan ikan menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan pelbagai langkah kawalan dan pemulihan sumber perikanan dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2016.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di negeri-negeri di pantai barat Semenanjung membabitkan Selangor, Perak, Kedah dan Perlis sebagai tindakan pemulihan perairan yang mengalami kemerosotan sumber.

Pengezonan semula kawasan menangkap ikan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Iklan
Iklan

DOF berkata, pihaknya juga menyasarkan penghapusan pukat tunda di Zon B bagi radius lima hingga 15 batu nautika dari pantai di seluruh negara demi kelangsungan sektor perikanan khususnya nelayan tempatan.

"Kesan dari langkah pemulihan ini, pendaratan ikan zon pantai di pantai barat Semenanjung telah menunjukkan peningkatan positif walaupun bilangan vesel beroperasi telah berkurangan.

Iklan

"Bagaimanapun, pendaratan ikan di Zon C (15 batu nautika ke atas) pula mencatatkan penurunan kerana banyak vesel tidak dapat beroperasi disebabkan kebergantungan terhadap pekerja asing di mana kemasukkan pekerja asing di awal tempoh wabak Covid-19 telah tersekat,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

DOF berkata, Pindaan Akta Perikanan 1985 yang telah dibuat pada tahun 2019 turut membantu Jabatan mengurus sumber dengan lebih baik di samping mengawal aktiviti IUU Fishing (Illegal, unreported and unregulated).

Iklan

Menurutnya, Penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 juga tidak terhad terhadap pencerobohan vesel asing malah turut dikuatkuasakan kepada vesel penangkapan ikan tempatan.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah penggunaan peralatan dilarang, menangkap ikan tanpa lesen dan pencerobohan di kawasan zon menangkap ikan.

"Bagaimanapun, pihak jabatan telah mengambil tindakan tegas terhadap vesel-vesel tempatan yang tidak mematuhi peraturan dan syarat-syarat lesen.

"Sehingga kini, kami berjaya mengurangkan bilangan vesel menangkap ikan dari 56,211 buah pada tahun 2015 kepada 48,826 buah pada tahun 2020,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Graf 2 menunjukkan tren pendaratan ikan di zon pantai negara untuk tempoh enam tahun dari bulan Januari hingga Julai setiap tahun.

Dalam kenyataan sama, DOF turut memaklumkan terdapat pertambahan bilangan pulau yang akan diwartakan sebagai Taman Laut tahun ini selain tukun-tukun tiruan dilabuhkan di seluruh negara.

"Sejak tahun 2017, sebanyak 1,606 unit tukun tiruan dengan kos melebihi RM 27 juta telah dilabuhkan di seluruh negara,” katanya.

DOF berkata, satu forum khusus juga telah diwujudkan bagi membincangkan isu berkaitan nelayan tempatan ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di kawasan perairan menerusi forum ‘Malaysia-Indonesia MoU Common Guideline’.

"MoU ini merupakan satu bentuk persefahaman di antara Malaysia dan Indonesia berkenaan cara layanan dan pengurusan ke atas vesel nelayan kedua-dua buah negara di kawasan perairan yang dikatakan bertindih.

"Justeru, nelayan dinasihatkan sentiasa membawa peralatan GPS supaya kedudukan semasa dapat dipastikan khususnya nelayan di Zon A,” ujarnya.

Graf 1 menunjukkan tren pendaratan ikan di zon pantai (sehingga 30 batu nautika) Pantai Barat Semenanjung Malaysia untuk tempoh enam tahun dari bulan Januari hingga Julai setiap tahun.

Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Peralatan bagi Vesel Zon A dan Zon B juga sedang giat dilaksanakan.

Di bawah Belanjawan 2021 melalui Dana Jaminan Makanan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta dan daripada jumlah tersebut, ia turut disalurkan kepada Agrobank dengan kadar faedah serendah tiga peratus.

Tujuan utama program tersebut adalah untuk mengurangkan tekanan sumber di Zon A dan Zon B serta meningkatkan daya saing industri perikanan melalui peralatan moden yang lebih efisen dan mesra sumber.