LUMUT - Seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot lain di Sungai Dinding berhampiran Kampung Acheh di sini pada Rabu.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 50 tahun bersama isteri dan anak lelakinya berusia 19 tahun sedang menuju ke perairan Pulau Pangkor.
Bot mereka bagaimanapun telah bertembung dengan sebuah bot yang dinaiki lima pemancing. Namun, hanya bot pemancing itu yang terbalik.
Lima lelaki dianggarkan berusia 20an serta dua beranak itu telah diselamatkan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang dijalankan sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam.
"Kawasan pencarian diteruskan pagi ini melibatkan radius dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.
"SAR turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan, Seri Manjung dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkor. Anak mangsa turut terlibat dalam mengesan bapanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Akmal, pihaknya turut menerima bantuan logistik dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Marin.