SHAH ALAM - Institut Koperasi Malaysia (IKKM) menganjurkan program Certification in Co-Operative Community Development Through Microfinance bagi mempromosikan kerjasama teknikal dan memupuk semangat kolektif pembangunan sumber manusia dalam kalangan negara-negara sedang membangun.
IKKM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, program yang dianjurkan selama lima hari bermula 23 Ogos hingga 27 Ogos turut melibatkan peserta dari Thailand dan ia merupakan di bawah program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
"Program ini memberi penekanan kepada isu-isu mengurus koperasi dan cabaran dalam pembiayaan mikro yang memberi kesan kepada gerakan koperasi di peringkat global. Kursus pada kali ini diadakan secara dalam talian untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 di seluruh negara.
"Seramai 14 peserta mewakili agensi kerajaan, ketua komuniti dan wakil koperasi terlibat dalam program kali ini,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, beberapa sesi taklimat telah diadakan pada program itu antaranya oleh wakil Bank Rakyat yang menjadi asas dalam mewujudkan sinergi idea dalam kalangan peserta.
"Mereka turut mendengar taklimat mengenai pengalaman menguruskan operasi di lapangan seperti di tapak pasar malam yang diuruskan oleh Koperasi Persalam Manjung Berhad (Persalam) dan penglibatan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam melahirkan usahawan daripada kalangan miskin dan berpendapatan rendah juga dikongsikan dalam program ini.
"Peserta juga dapat mendalami proses kutipan mikro kredit yang diuruskan oleh kedua-dua organisasi. Ini seterusnya memberikan mereka input untuk membangunkan polisi, amalan terbaik dan piawaian yang dapat meningkatkan taraf gerakan koperasi sekembalinya di negara masing- masing,” kata kenyataan itu.
Selain itu, wakil daripada Koperasi Pembangunan Daerah Petaling Berhad (KPDPB), Ar Rahnu X- Change dan Bank Simpanan Nasional (BSN) juga turut sama menjayakan program itu dengan perkongsian mengenai sistem perniagaan pajak gadai Islam dan sistem mikro kredit berlandaskan shariah.
Turut hadir dalam program itu ialah Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pengarah IKKM dan wakil Sekretariat MTCP, Kementerian Luar Negeri, Farah Fazarina Mohamad.
Penganjuran program MTCP bukanlah satu perkara yang baharu baru bagi IKKM.
Sejak tahun 1984 lagi IKKM telah menjalankan kursus bagi peserta antarabangsa di bawah program MTCP dengan menjalankan beberapa program pilihan dalam pelbagai bidang koperasi seperti Certificate in Co-operative Management and Governance, Certificate in Co-operative Auditing, Certificate in Co-operative Human Recourse Development, dan Certificate in Co-operative Poverty Reduction.
Sehingga kini, IKKM telah melatih 1,067 peserta antarabangsa daripada 86 negara. seramai 14 peserta mewakili agensi kerajaan, ketua komuniti dan wakil koperasi terlibat dalam program kali ini.
INFO
- MTCP di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menawarkan hampir 100 kursus jangka pendek pada setiap tahun, hasil daripada kerjasama yang dipupuk antara KLN dan agensi-agensi serta institusi-institusi latihan awam dan swasta.
- Program ini telah berjaya memberikan manfaat kepada lebih 34,000 peserta dari 144 negara sejak MTCP diperkenalkan.
- Empat objektif utama MTCP adalah
• untuk berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara-negara sedang membangun yang lain;
• untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara membangun;
• untuk mendorong dan mempromosikan Kerjasama Selatan-Selatan (South-South Cooperation);
• untuk menggalakkan kerjasama teknikal di kalangan negara-negara membangun (TCDC)