MELAKA - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan memastikan pusat perpindahan sementara (PPS) yang dijadikan pusat pemberian vaksinasi (PPV) tidak mengalami masalah kekurangan lokasi untuk menempatkan penduduk terjejas akibat banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Operasi Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, sekiranya PPS itu dibuka untuk PPV, masih terdapat lokasi yang sesuai dijadikan PPS seperti dewan-dewan awam mahupun sekolah sekiranya bencana seperti banjir berlaku.
Menurutnya, kebanyakkan negeri telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan menjelang peralihan monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dijangka melanda negara November depan.
"Setakat ini tiada isu kekurangan PPS di seluruh negara kerana kebanyakan PPV menggunakan dewan dan stadium manakala hampir 90 peratus PPS di seluruh negara menggunakan sekolah.
"Nadma akan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat pada minggu kedua September depan bagi membincangkan isu kesiapsiagaan ini dengan lebih terperinci," katanya.
Beliau berkata demikian ketika tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Tambahnya, terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai bagi pengasingan penduduk terjejas banjir positif Covid-19 dalam usaha mengekang pandemik itu.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga kini kemasukan pesakit di pusat itu dilihat semakin stabil susulan kadar kemasukannya hanya sekitar 50 peratus dan kebanyakkannya bagi pesakit kategori satu dan dua yang telah menjalankan perintah kuarantin di rumah.
"Setakat ini PKRC MITC kita menempatkan pesakit kategori tiga dan empat dengan penempatan sekitar 30 peratus dan paling ramai adalah kategori dua," katanya.