KUALA TERENGGANU- Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menyumbangkan 8, 000 unit kit ujian kendiri Covid-19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam usaha sama-sama membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, pada Selasa.
Setiausaha kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail berkata, nilai sumbangan berjumlah RM280,000 itu turut bertujuan meringankan dan meminimum beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya daripada JKNT.
"Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu terutama dalam pelaksanaan setiap ujian Covid-19 memandangkan ujian cara tersebut agak mudah untuk dilakukan di samping mendapatkan keputusan segera.
"Selain itu, ujian cara ini membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu postif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Mohd Azrul lagi, diharap sumbangan diberikan ini dapat meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf untuk melakukan ujian Covid-19.
Sebelum ini, sejak Febuari lalu, YDSM memberi sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) negeri ini, dengan perbelanjaan diperuntukkan RM30,000 sebulan.
"Pada masa sama YDSM memperuntukkan RM200,000 bagi membeli barangan dapur untuk manfaat kepada kira-kira 900 keluarga golongan asnaf khususnya penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas," jelas beliau.