Penutupan sekolah tahfiz selaras arahan MKN

Iklan
Mohd Yusop

IPOH - Penutupan sekolah-sekolah termasuk 60 maahad tahfiz di Perak yang berdepan risiko ditutup adalah selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pelajar sekolah di semua peringkat termasuk tadika kini mengikuti pendidikan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Iklan
Iklan

"Arahan penutupan sekolah-sekolah tahfiz adalah selari dengan arahan MKN berhubung dengan kawalan merebaknya virus Covid-19.

"Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), tadika, sekolah menengah tahfiz negeri dan sekolah menengah kerajaan negeri turut menjalankan proses pendidikan secara PdPR," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) bahawa 60 maahad tahfiz di Perak berdepan risiko ditutup selepas tidak dapat beroperasi dalam tempoh pandemik Covid-19 sejak Mei lalu.

Mereka hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan susulan tiada pelajar yang memulakan sesi pengajian dan dianggarkan 2,500 pelajar akan keciciran manakala 300 guru dijangka akan kehilangan pekerjaan

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, kerajaan bagaimanapun dalam usaha membantu pusat-pusat tahfiz dengan menyalurkan peruntukan hampir RM4.6 juta termasuk peruntukan perkapita untuk tahun ini.

"Saya menyarankan jemaah pengurusan harus berusaha dengan cara terbaik dalam mengendalikan pengurusan sekolah termasuklah urusan kewangan agar boleh terus berfungsi walaupun dalam suasana pandemik ini.

"Saya dimaklumkan ada pusat-pusat tahfiz yang masih mampu mengendalikan dengan baik pengurusan kewangan dan pendidikan dalam suasana pandemik ini," katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusop turut memaklumkan bahawa kursus latihan perguruan akan dimulakan pada penghujung September ini bagi meningkatkan kemahiran guru-guru tahfiz swasta negeri ini.

"Kursus latihan perguruan anjuran JAIPk bersama Institut Kemahiran Darul Ridzuan ini akan diadakan selama empat bulan dan dibiayai oleh JAIPk.

"Justeru saya mengharapkan agar pihak pengusaha tahfiz dapat mengambil manfaat," katanya.