KOTA BHARU - Bekas ADUN Melor, Wan Ismail Wan Jusoh meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, pada Khamis.
Allahyarham yang merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Melor selama dua penggal iaitu pada tahun 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013 meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari.
Sinar Harian difahamkan Yang Dipertua Pas Ketereh itu dijangkiti Covid-19 pada awal Ogos dan mendapat rawatan di hospital berkenaan.
Wan Ismail meninggalkan dua balu iaitu Norizan Yusoff, 60, dan Siti Madinah Ilias Khan, 59, serta 11 anak dan tiga anak tiri.
Mantan Penghulu Mukim Melor, Nazmi Seman ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, Allahyarham merupakan seorang yang sangat prihatin dengan kebajikan rakyat.
Menurutnya, semasa hayatnya, Wan Ismail memang suka membantu masyarakat dan terkenal dengan seorang pemimpin yang sangat peramah.
"Ia merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kami semua. Kami kehilangan seorang pemimpin yang boleh menjadi contoh terutamanya dalam membantu rakyat," katanya.
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Ketereh melalui laman sosial Facebooknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Wan Ismail.
Ucapan takziah juga turut dikongsi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis melalui laman sosial rasmi Facebook miliknya.