88 menara telekomunikasi baharu dibina di Terengganu

Iklan
Ariffin (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Mohd Fairus (kanan) ketika melawat menara telekomunikasi yang dinaik taraf kepada jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu pada Khamis. - Foto: Bernama

SETIU - Sebanyak 88 menara telekomunikasi baharu dibina di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 (2020-2022) bagi meningkatkan capaian internet 4G kepada 96.9 peratus di seluruh Terengganu menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13 struktur telekomunikasi telah siap, 10 struktur telekomunikasi masih dalam pembinaan dan baki lagi 65 struktur dalam proses akhir tender.

Iklan
Iklan

"Selain itu sebanyak 409 struktur telekomunikasi sedia ada sedang dinaik taraf kepada capaian 4G, di mana 88 struktur daripadanya telah siap dan selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak penaiktarafan jalur lebar 4G di Kampung Payong di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad.

Iklan

Ariffin berkata, di bawah inisiatif tersebut juga sejumlah 38,216 premis sedang dinaik taraf talian tetap fiber optik dan daripada jumlah itu sebanyak 22,609 premis atau 59 peratus telah siap dipasang manakala selebihnya akan siap secara berperingkat sehingga suku keempat 2022.

Selain itu, kata beliau, di bawah inisiatif Jendela Fasa 1 juga, projek kabel dasar laut sepanjang 35 kilometer bakal dibina antara Merang ke Pulau Redang bagi meningkatkan capaian internet di pulau peranginan tersebut.

Iklan

"Pembangunan infrastruktur digital melalui inisiatif Jendela ini akan memberikan liputan jalur lebar kelajuan tinggi yang lebih menyeluruh di seluruh Terengganu bagi menyokong keperluan ekonomi digital, penyampaian aplikasi digital kerajaan negeri, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) khususnya di kawasan-kawasan kurang liputan di bawah norma baharu ketika ini,” katanya. -Bernama