Peti sejuk beku dicuri, dua penjaja rugi RM1,200

Iklan
Dua gerai berhampiran Masjid Ahmad Shah (Masjid Lama), Jerantut yang kehilangan peti sejuk beku akibat dilarikan pencuri pada malam Rabu.

JERANTUT - Dua orang penjaja kecil di bandar ini kerugian kira-kira RM1,200 apabila peti sejuk milik mereka dicuri, malam Rabu.

Salah seorang penjaja, Faizah Izzani Zakaria, 40, berkata, dia menyedari peti sejuk beku yang diletakkan di dalam gerainya, Monstera Station yang terletak bersebelahan Masjid Ahmad Shah (Masjid Lama), di sini hilang setelah dimaklumkan peniaga bersebelahan.

Iklan
Iklan

"Setelah dimaklumkan rakan gerai bersebelahan pagi tadi, saya bersama suami bergegas ke gerai dan mendapati peti sejuk beku yang penuh dengan barangan untuk berniaga sudah tiada.

"Ini saya anggap ujian dalam musim pandemik dan reda walaupun memang terkesan dengan insiden ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, dia telah berniaga di tapak tersebut sejak setahun lalu dengan menjual pelbagai jenis menu barat seperti coney sausage bermula jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Isnin.

Nasib sama dialami peniaga takoyaki dan oden yang juga kehilangan peti sejuk beku yang diletakkan di dalam gerainya.

Iklan

Rohizah Osman, 54, memberitahu, dia juga menerima panggilan daripada pemilik gerai roti canai bersebelahan yang menyedari peti sejuk beku di gerainya sudah tiada.

"Banyak juga barang niaga yang baru dibeli semalam (Rabu) di dalam peti sejuk itu,” ujarnya lagi.

Kedua-dua penjaja itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Difahamkan kawasan gerai makan dan penjaja di sekitar Masjid Lama Jerantut itu agak sunyi dan gelap pada waktu malam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.