SHAH ALAM – Syarikat perkakasan rumah dari Korea Selatan, SK magic menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, SKmagicCares menyediakan pembersih udara dan air di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah Urusan SK magic Malaysia, Kim Kyung Won berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada petugas barisan hadapan dan orang ramai.
"SK magic juga telah memperuntukkan RM330,000 untuk menyediakan pembersih udara dan air di beberapa pusat perubatan terpilih menerusi SKmagicCares fasa pertama.
"Antara pusat perubatan yang menerima bantuan daripada syarikat itu ialah Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Sunway Pyramid Convention Centre, National Cancer Society Malaysia dan Columbia Asia Hospital Puchong,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, SK magic menghargai pengorbanan dan komitmen petugas barisan hadapan atau frontliners sejak penularan pandemik Covid-19.
"SK magic memberikan gabungan Motion Air Purifiers, Twin Air Purifiers dan WIZ S Water Purifiers kepada PPV dan hospital setelah selesai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pembersih udara dan air ini akan terus menyediakan udara dan air bersih kepada rakyat Malaysia di lokasi masing-masing,” katanya.
Pembersih udara SK magic menghilangkan bakteria udara, debu dan sebagainya yang terdapat dalam udara dengan berkesan melalui penapis HEPA canggih yang menyediakan udara segar.
Pembersih airnya dilengkapi dengan sistem penyaringan canggih dan 'Dual Tap UV Sterilisation' yang menghilangkan virus berbahaya semasa mengeluarkan air yang memastikan air minum segar dan bersih.
"SK magic mengucapkan terima kasih kepada rakan kami kerana mempercayai kami dan berkongsi objektif yang sama untuk melindungi semua orang dengan sebaik mungkin. Kami berharap dapat terus menyediakan air dan udara bersih kepada rakyat Malaysia melalui program SKmagicCares, ” katanya.