IPOH - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mempersoalkan peranan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin yang dikatakan 'banyak hilang' ketika kerajaan berdepan pandemik Covid-19.
Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) dan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Khamis.
Kar Hing berkata, penularan kes Covid-19 di Perak telah menunjukkan kebimbangan dengan kadar peningkatan kes yang tinggi, kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah kematian direkodkan setiap hari.
Menurutnya, dalam keadaan itu Exco Kesihatan sepatutnya memainkan peranan penting dengan memberi kenyataan menjelaskan situasi semasa agar rakyat mendapat maklumat yang lengkap.
"Kesungguhan Exco Kesihatan dalam perkara ini lemah. Saya ingin bertanya kepada beliau apa peranannya untuk mengatasi Covid-19, apa usahanya, saya ingin mendengar penjelasannya.
"Saya berasa kasihan apabila dalam kebanyakan isu, Menteri Besar (Datuk Saarani Mohamad) yang banyak dilihat turun ke kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), pelancaran PIKAS (Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta) dan sebagainya, tetapi tidak Exco Kesihatan.
"Mungkin Exco Kesihatan lebih sibuk berbanding Menteri Besar. Pada perkiraan saya, jika beliau tidak dapat melakukan tugasnya, eloklah dibuat rombakan diganti dengan orang lain yang boleh melakukan lebih baik," katanya.
Howard Lee turut menegur ADUN Selama dari Pas itu apabila tidak banyak membantu dalam memastikan keperluan peralatan kecemasan di hospital-hospital rawatan Covid-19 mencukupi.
Katanya, berlaku situasi pengamal perubatan yang terpaksa tebal muka meminta bantuan daripada masyarakat dan wakil rakyat, merayu meminta mesin 'oxygen concentrator' dan segala peralatan yang kurang.
"Di manakah Exco Kesihatan kita? Wajarkah seluruh tanggungjawab ini dibebankan sepenuhnya ke atas bahu Menteri Besar sehinggakan semua portfolio pun Menteri Besar kena turun padang?
"Ini bukan perkara remeh. Perkakasan ini diperlukan untuk membantu menyelamatkan setiap warga yang bakal jadi korban nyawa Covid-19 sekiranya Exco Kesihatan terus tetap goyang kaki," katanya.
Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negera (Amanah) negeri berkata, sehingga kini tidak nampak sebarang kenyataan dibuat exco berkenaan berkaitan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses menangani wabak Covid-19 melainkan kenyataan dibuat Menteri Besar.
"Kami juga terkejut apabila jawapan soalan lisan pagi tadi (Khamis) dijawab oleh Menteri Besar kerana soalannya berkaitan Covid-19 yang sepatutnya dijawab oleh Exco Kesihatan.
"Saya tak nak spekulasi apa-apa tapi apa yang berlaku ini telah menimbulkan tanda tanya," katanya.