IPOH - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan agar keanggotaan ahli pembangkang dalam Jawatankuasa Tetap Dewan Negeri ditambah.
Beliau berkata, lantikan itu boleh dilakukan secara berkadaran memandangkan pembahagian yang diperuntukkan kepada pembangkang ketika ini tidak begitu memadai.
"Titah tuanku (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) berhubung tadbir kelola yang mengurangkan politik itu tidak harus kita terlepas pandang dan saya ingin berikan tumpuan kepada jawatankuasa ini.
"Meskipun ada yang berhujah jawatankuasa ini tidak banyak bidang kuasa, tetapi saya fikir ada perkara boleh diperhatikan melalui lantikan ini nanti antaranya bagi mengurangkan rasuah.
"Oleh kerana kerusi yang diperuntukan sekarang tidak begitu memadai, maka pentingnya jawatankuasa ini diperkasa dan melantik pihak dari sebelah sini (pembangkang) dengan cara yang berkadaran," katanya pada sesi perbahasan Persidangan DUN Perak ke-14 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, keanggotaan pembangkang dalam jawatankuasa itu dapat mengimbangi dan memperhalusi hal-hal yang terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pentadbiran tanah dan pelantikan penting dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, keadaan yang dilihat ketika ini contohnya dalam GLC, kerap berlaku lantikan dilakukan secara peribadi oleh pimpinan atasan kerajaan.
"Budaya ini seharusnya dikurangkan. Apa yang kita perlukan adalah keadaan lebih telus dan ini penting dalam era baharu politik kita sekarang," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi dari DAP itu berkata, perkembangan politik yang berlaku di peringkat negeri dan Pusat ketika ini telah banyak mengubah landskap tadbir kelola pentadbiran.
Katanya, impak paling ketara apabila politik tidak lagi dilihat sebagai persaingan atau pertembungan yang panas sebaliknya ruang untuk memastikan rakyat mendapat manfaat.
"Seperti di Perak, kita bukan nak minta jadikan sebuah kerajaan perpaduan, cukuplah teruskan format yang ada, tetapi dengan cara lebih berkhemah. Ini yang rakyat mahu lihat," katanya.
Tambah lantikan pembangkang dalam jawatankuasa tetap Dewan Negeri
Iklan