ANKARA - Australia buat pertama kali mencatat rekod jangkitan harian Covid-19 tertinggi melebihi 1,000 kes sejak wabak mula melanda.
Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 1,130 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 47,650 disebabkan penularan varian Delta, lapor Agensi Anadolu memetik stesen penyiaran tempatan ABC News.
Tiga lagi kematian baharu menjadikan jumlah angka korban terkini sebanyak 989.
New South Wales (NSW) melaporkan 1,029 kes baharu dan kekal menjadi pusat penularan wabak di Australia.
Bagaimanapun, NSW meneruskan agenda mengurangkan sekatan terhadap mereka yang lengkap divaksin.
"Penduduk NSW yang telah terima dua dos vaksin Covid-19 akan memperoleh lebih banyak kebebasan mulai bulan depan, kerana NSW telah mencapai sasaran enam juta suntikan,” kata Ketua Menterinya Gladys Berejiklian.
Di bawah peraturan baharu, mereka yang lengkap dua dos suntikan boleh mengadakan perjumpaan di luar rumah hingga lima orang termasuk kanak-kanak, tidak melebihi lima kilometer dari kediaman.
Menurut data terbaharu, Australia dengan populasi melebihi 25 juta orang, merekodkan 18 juta dos penggunaan vaksin, lebih 11.3 juta rakyat sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 6.7 juta lengkap dua dos.
Sementara itu, Perdana Menteri, Scott Morrison memberitahu wartawan sebanyak 335,420 suntikan diberikan di seluruh negara pada Rabu.
"Rekod itu memberi harapan untuk kita bersama-sama membawa negara menuju sasaran yang ditetapkan,” katanya. - Bernama