SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) mulai 6 hingga 9 September ini bertujuan untuk membantu pemulihan sektor tenaga kerja negara.
Perkeso dalam kenyataan memaklumkan, forum antarabangsa yang berlangsung secara maya itu bakal menghimpunkan tiga program berbeza di bawah satu bumbung dan akan diadakan secara serentak.
Menurutnya, program-program tersebut adalah SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 (6 dan 7 September), International Public Employment Services Symposium (7 dan 8 September) dan Ekspo Kerjaya (7 hingga 9 September).
"Ketiga-tiga program ini adalah terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan penyertaannya adalah percuma.
"Bertemakan ‘Navigating Disability Management Through the New Normal: Return to Work Process Re-engineering’, program RTW DIGIMOS Symposium 2021 ini dianjurkan selari dengan usaha Perkeso untuk terus membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19," kata kenyataan itu pada Khamis.
Sehubungan itu, Perkeso meminta orang ramai termasuklah golongan profesional, ahli akademik, majikan, pencari kerja, graduan dan lepasan sekolah untuk menyertai IPEF 2021.
Pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang menerusi pautan www.perkeso.gov.my/ipef.
Pada masa sama, Perkeso berkata, persidangan kali pertama ini dijangka akan mengumpulkan lebih 1,000 peserta dari seluruh pelosok Asia Tenggara dengan mengetengahkan barisan
panel jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang pengurusan hilang upaya dan rehabilitasi di tempat kerja.
"Antaranya ialah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah Eksekutif, International Disability Management Standards Council, Kanada,Wolfgang Zimmerman dan profesor dalam bidang pemulihan dari University of Texas Rio Grande Valley, Amerika Syarikat, Profesor Dr Rene Gonzalez.
"Menerusi program International Public Employment Services Symposium pula, Perkeso berhasrat untuk mewujudkan satu platform perkongsian idea dan bertukar pandangan daripada pakar-pakar dalam pasaran buruh negara mengenai langkah-langkah membangunkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
"Persidangan dua hari ini dijangka menarik lebih daripada 40,000 penyertaan selain menampilkan barisan panel hebat dan terkemuka dari sektor awam dan swasta antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan ramai lagi," katanya.
Perkeso turut mengadakan Ekspo Kerjaya secara maya khusus buat golongan pencari kerja tempatan.
"Dengan lebih 20,000 kekosongan jawatan ditawarkan daripada 126 majikan, program ini diharap dapat membantu merangsang pasaran buruh negara, selain menjadi platform carian
pekerjaan yang mudah buat rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan dari rumah ketika tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berjalan.
"Antara majikan utama yang hadir untuk menyertai Expo Kerjaya ini termasuklah ExxonMobil, Honda, CIMB Bank, Top Glove, Schlumberger, Petron, UMW, KPJ dan banyak lagi," kata kenyataan itu.
Untuk sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor Careline Perkeso di 1300-22-8000 atau emel ke ipef@perkeso.gov.my.