MALAYAN Banking Bhd (Maybank) tidak memohon lesen perbankan digital Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia telah pun memulakan perjalanan ke arah itu sejak 2014, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias.
"Perjalanan kami ke arah pendigitalan bukan bermula tahun lepas tetapi sejak 2014, dan kami mempunyai opsyen untuk memperkenalkan perbankan digital di bawah lesen yang kami miliki sekarang, jadi kami tidak perlu memohonnya," katanya pada taklimat media maya selepas membentangkan prestasi kumpulan itu bagi separuh pertama 2021 di sini pada Khamis.
Di bawah rangka kerja perbankan digital BNM, bank digital perlu menyediakan perkhidmatan perbankan dalam talian secara harian sepenuhnya, termasuk pelanggan yang berdaftar melalui platform, ‘Know Your Customer’ (eKYC).
Sesebuah bank digital juga mesti berfokuskan pelanggan, dipacu teknologi dan inklusif.
"BNM juga mewajibkan bank digital untuk melindungi integriti dan kestabilan sistem kewangan termasuk kepentingan pendeposit melalui pematuhan peraturan dan keperluan modal, yang telah pun dipenuhi oleh Maybank," katanya lagi.
Abdul Farid ketika ditanya sama ada Maybank boleh berfungsi sama dengan lima bank digital yang menerima lesen BNM berkata, ia bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank-bank berkenaan kerana matlamat setiap pemain adalah berbeza, mungkin ada yang membuat tawaran secara percuma bagi mendapatkan data daripada pelanggan.
"Ramai orang, apabila mereka memasuki ruang digital, mereka pergi untuk pembayaran (perkhidmatan), dan negara ini ada banyak peneraju e-dompet tetapi anda melihat bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang mencipta wang, kerana mereka sebenarnya, membakar tunai.
"Tetapi bagi kami, salah satu fungsi utama kami adalah untuk memberi pinjaman kepada pengguna dalam ekonomi sebenar dan pinjaman adalah satu bentuk perniagaan berisiko yang melibatkan kecairan serta modal," katanya.
Mengenai prospek pertumbuhan pinjaman bagi tahun kewangan 2021, Abdul Farid percaya bahawa ia akan mula perlahan menjelang suku ketiga berakhir 30 September 2021, disebabkan oleh sekatan pergerakan di seluruh negara tetapi beliau berharap pertumbuhan itu akan meningkat semula pada baki tahun 2021.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khalijah Ismail menjangkakan pertumbuhan pinjaman dalam tiga pasaran utama iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, akan berkembang sejajar dengan prestasi industri.
Melangkah ke hadapan, Abdul Farid menjangkakan margin faedah bersih (NIM) kumpulan akan berkembang antara 10 mata asas (bps) sehingga 15 bps, disokong oleh kos deposit yang lebih rendah termasuk andaian bahawa tiada pemotongan kadar faedah pada 2021, manakala nisbah pendapatan kos (CIR) akan berkisar antara 45 peratus dan 46 peratus ke atas pertumbuhan pendapatan sederhana.
Katanya, kumpulan akan kekal berhati-hati terhadap potensi kemerosotan kualiti aset memandangkan pemulihan ekonomi yang tidak sekata membabitkan beberapa pasaran utama ASEAN berikutan sekatan berterusan pada separuh kedua 2021 dan lanjutan pakej bantuan pembayaran balik.
"Oleh itu, kami mengekalkan caj kredit bersih antara 70 bps dan 80 bps bagi tahun kewangan 2021," katanya.- Bernama