KEKURANGAN pengalaman dan perasaan gugup yang menyelubungi pemain ping pong perseorangan lelaki negara, Chee Chaoming merupakan punca dirinya tersingkir awal dalam Sukan Paralimpik Tokyo.
Chaoming yang bermain dalam kategori TT9 (kecacatan fizikal) berkata, dua faktor itu telah menyebabkan beliau tidak berupaya menjelmakan prestasi terbaik pada saingan yang berlangung di Tokyo Metropolitan Gymnasium di sini.
"Ini merupakan Paralimpik pertama saya manakala lawan lain telah mempunyai pengalaman bermain di temasya ini termasuk bertemu pemenang empat kali emas Paralimpik, Ma Lin dari Australia dan juga pemenang gangsa Rio 2016, Mohamed Kalem dari Itali.
"Saya berasa sangat sedih selepas bermain sangat buruk pada aksi pertama dan dalam perlawanan kedua pula saya mula mendapat rentak permainan pada set kedua namun perasaan gemuruh dan kegopohan pada saat akhir permainan memakan diri saya,” katanya.
Menurutnya, perasaan dialaminya itu menyebabkan beliau seakan hilang punca dan banyak melepaskan mata selepas gagal menyambut bola hantaran servis daripada pihak lawan dalam saingan kumpulan.
Tiga kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan C direkodkan atlet berusia 24 tahun itu menutup peluangnya untuk layak ke peringkat suku akhir pada penampilan sulungnya di temasya berprestij itu.
Pada Rabu, Chaoming tersungkur kepada Mohamed 6-11, 7-11, 4-11, diikuti tewas kepada pesaing dari Great Britain, Joshua Stacey, 6-11, 8-11, 9-11 pagi tadi sebelum mengakhiri kempennya di Jepun dengan satu lagi kekalahan kepada Ma Lin 5-11, 6-11, 7-11 pada sebelah petang.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu pada masa sama memberitahu lawannya khususnya dari Eropah mempunyai kelebihan apabila dapat bertanding dalam kejohanan sebelum ke Tokyo manakala dirinya hanya menjalani latihan secara kuarantin di Bukit Jalil selepas kali terakhir menyertai saingan kompetitif antarabangsa di Argentina pada hujung 2019.
Bagaimanapun, pemenang gangsa Sukan Para Asia 2018 itu enggan menyerah kalah dan mengakui pengalaman dikutipnya di sini sangat berguna dalam perjalanannya sebagai atlet selain sudah mula memasang impian untuk cuba layak ke peringkat suku akhir di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau yang dilahirkan dengan jari pendek sejak lahir, juga akan berusaha keras dalam kejohanan mendatang terutamanya bagi mengumpul mata kelayakan ke Paris 2024 selain berazam mahu meraih pingat di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China.
Chaoming yang mula bermain ping pong sejak usia lapan tahun juga memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan, dan seluruh rakyat Malaysia susulan ketidakupayaannya untuk melangkah lebih jauh di Jepun.
Selain meraih gangsa perseorangan lelaki, Chaoming juga merupakan pemenang emas ketika bergandingan bersama Ting Ing Hock dalam acara beregu lelaki TT4-5 di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Sukan Paralimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi Selasa lepas akan berlangsung sehingga 5 September ini.- Bernama