DUA pemain muda negara, Ahmad Lutfi Mohd Sam dan Iskandar Fareez Shah Zainal Abidin kini bersiap sedia untuk mengembangkan lagi karier mereka dalam arena hoki dengan menyertai kelab Hattemse Mixed HC di Belanda.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah memberikan perakuan ‘no objection certificate’ (NOC) kepada kedua-dua pemain yang berumur 22 tahun itu untuk bermain dalam Liga Belanda dari 31 Ogos hingga 22 November.
Ahmad Lutfi yang bermain untuk UiTM dalam Liga Hoki Malaysia pada tahun 2020 dan 2021 berkata, dia agak gementar walaupun cukup teruja untuk menghadapi cabaran baharu itu.
"Saya cukup teruja, namun rasanya kemahiran saya ketika ini mungkin agak terjejas sedikit, kerana kali terakhir saya bermain dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) adalah pada Mac dan April lepas. Dari segi kecergasan saya tidak bimbang sangat kerana saya tetap jalani latihan, hanya untuk tajamkan permainan.
"Kita tahu corak permainan Eropah adalah berbeza dan lebih mantap, saya harap dapat mempelajari corak permainan ini, dan berharap dapat bawa balik ilmu ini untuk dikongsi bersama pemain kita di sini nanti,” katanya.
Ahmad Lutfi, yang mengambil bahagian dalam pertandingan merebut Piala Tun Abdul Razak dan temasya Sukan Malaysia (Sukma), sedang menguruskan proses dokumentasi bagi pelepasan beliau ke Belanda.
Iskandar Fareez, yang juga bermain dalam MHL untuk UiTM (2019 dan 2021) serta pasukan TNB Thunderbolts (2020), pernah beraksi untuk skuad remaja negara dalam kejuaraan Piala Sultan Johor 2019, dan Piala Tun Abdul Razak 2020.
"Iskandar merupakan pemain yang cukup berbakat, dan kita harap bintangnya akan bersinar dengan baik di Belanda. KHM memberi sokongan penuh dengan meluluskan NOC baginya,” kata Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, I Vikneswaran. - Bernama