SEMENYIH - Selepas melalui dua minggu tempoh berkempen yang dihiasi pelbagai kisah, akhirnya rakyat Semenyih akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada hari ini.
Sebanyak 23 pusat mengundi dibuka pada hari ini dan mula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, seramai 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka pada PRK DUN Semenyih, hari ini.
Menurutnya, jumlah tersebut berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari 2019.
"Jumlah pengundi biasa yang layak mengundi dalam PRK Semenyih ialah 53,520 orang.
"Bagaimanapun daripada jumlah itu 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi 53,411 orang," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengundi agar merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir.
PRK DUN Semenyih diadakan susulan pemergian penyandangnya, Bakhtiar Md Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lepas.
PRK kali ini agak istimewa kerana tiga daripada empat calon merupakan anak tempatan dan mereka akan turut sama mengundi hari ini.
Sementara itu, Jurucakap PRK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah yakin dan komited pihaknya akan dapat memastikan semua 23 pusat mengundi berada dalam keadaan terkawal sehingga proses pengundian berakhir.
Semoga semuanya berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini berlaku.
Semenyih, selamat mengundi!