KUANTAN - Penduduk meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera mengambil tindakan terhadap isu kehadiran sekumpulan kera yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan di Bandar Damansara Kuantan hingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.
Ancaman haiwan liar itu bukan saja menjejaskan peralatan dan kelengkapan di kawasan perumahan tersebut, sebaliknya menimbulkan kebimbangan kera terbabit bertindak ganas terhadap penduduk khususnya kanak-kanak.
Gangguan itu bukan baharu sebaliknya hampir setengah tahun berlaku dan sejak kebelakangan ini, keadaan menjadi lebih teruk.
Seorang penduduk, Datuk Haffizan Rizal Abd Halim berkata, kehadiran hidupan liar itu sudah lama dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Katanya, kera dipercayai datang dari hutan berdekatan dan kerap muncul pada waktu tengahari untuk mencari makanan serta menyelongkar tong sampah.
"Kumpulan haiwan liar ini juga memasuki hadapan halaman rumah penduduk dan bertenggek di atas pagar serta bumbung rumah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Haffizan Rizal berkata, penduduk mendesak pihak berkenaan terutama Perhilitan memandang serius isu kera tersebut.
Katanya, penduduk berharap pihak berkenaan segera menangkap sejumlah besar kera yang berkeliaran di kawasan taman perumahan di situ.
"Kami berharap Perhilitan bertindak sewajarnya bagi mengatasi masalah penduduk di sini sebelum berlaku sebarang kejadian lebih buruk lagi seperti penduduk cedera diserang kera," katanya.
Umairah Ishak,45, pula memberitahu, taman perumahan terbabit berdekatan hutan dan penduduk di kawasan itu meminta Perhilitan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
"Sebelum berlaku perkara tidak diingini seperti kecederaan digigit kera, lebih baik jika pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.