LUMUT - Seorang lelaki yang hilang dalam kejadian langgar membabit dua bot pada Rabu lalu dijumpai lemas di bawah Jambatan Permaisuri Bainun, Sungai Dinding berhampiran Kampung Acheh di sini pada Jumaat.
Mangsa, V Subramaniam, 50, dijumpai nelayan tempatan kira-kira jam 8.50 pagi pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, pasukan bergerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira satu batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas menerima maklumat tersebut.
"Dua anggota bomba serta seorang anggoga Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergerak ke lokasi mangsa dijumpai.
"Komander operasi mengarahkan anggota untuk mengambil mangsa dan membawa ke pos kawalan bomba," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 9.40 pagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot lain di Sungai Dinding berhampiran Kampung Acheh di sini pada Rabu.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 50 tahun bersama isteri dan anak lelakinya berusia 19 tahun sedang menuju ke perairan Pulau Pangkor.
Bot mereka bagaimanapun telah bertembung dengan sebuah bot yang dinaiki lima pemancing, namun, hanya bot pemancing itu yang terbalik.
Lima lelaki dianggarkan berusia 20-an serta dua beranak itu telah diselamatkan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hilang terjatuh sungai dalam nahas dua bot