SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan keyakinan anggota kabinet baharu mampu menggalas amanah dan akan meneruskan usaha menangani wabak Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat dan membina semula sektor ekonomi negara.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana program-program bantuan rakyat yang bernilai ratusan bilion yang telah dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diteruskan.
"Saya juga mencadangkan agar kabinet ini segera melihat kembali cadangan-cadangan reformasi institusi yang dicadangkan oleh Muhyiddin.
"Asas dan kerangka baik yang telah dibina oleh Muhyiddin wajar menjadi landasan untuk bergerak ke hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu mengucapkan tahniah kepada semua anggota kabinet yang diumumkan pada Jumaat.
"Tahniah juga khususnya kepada semua pemimpin Bersatu yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.
"Bersatu akan menjadi parti anggota kerajaan yang sentiasa memberi sumbangan-sumbangan konstruktif untuk kebaikan rakyat dan negara, menjulang kedaulatan undang-undang serta menjaga kebebasan institusi kehakiman dan perundangan," katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinet untuk sama-sama menerajui pentadbirannya.