IPOH - Kedudukan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu diiktiraf sesuai dengan semangat demokrasi tulen dan kematangan politik baharu.
Nga Kor Ming (DAP-Aulong) berkata, pengiktirafan itu bagi memastikan Dewan Negeri dapat memainkan peranan sebagai imbang dan semak kuasa dengan sebaiknya selain menjadi mercu tanda sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Menurutnya, antara pembaharuan yang boleh dicadangkan bagi memperkukuh institusi dan reformasi Dewan Negeri itu adalah dengan mengangkat kedudukan ketua pembangkang bertaraf Exco.
"Selaras dengan janji reformasi oleh bekas Perdana Menteri bahawa ketua pembangkang di Parlimen adalah bertaraf menteri, jadi kedudukan di peringkat negeri adalah wajar diangkat bertaraf Exco," katanya pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Jumaat.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu turut mencadangkan agar wakil pembangkang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC).
Katanya, perkara itu telah pun diamalkan di peringkat Dewan Rakyat dan Perak seharusnya meneladani perkara sama bagi memastikan Dewan Negeri dapat memainkan peranan dengan sebaiknya.
"Kita juga seharusnya segera meminda enakmen negeri dan perintah tetap Dewan Negeri supaya memberi kuasa kepada PAC untuk memanggil saksi dan memberi keterangan.
"Selain itu, dicadangkan juga agar ditubuhkan jawatankuasa pilihan khas bajet, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kesihatan awam serta pengurusan tanah.
"Ini bakal mengikut langkah reformasi yang sedang dirancang dan diamalkan di peringkat Persekutuan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi DAP Perak itu menyokong cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang dikemukakan ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada sesi perbahasan pada Khamis.
Katanya, penubuhan majlis yang melibatkan keanggotaan pakar, wakil kerajaan dan pembangkang itu boleh dijadikan strategi baharu tadbir urus dan pembangunan negeri.
"Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sedia menimbang untuk menyertai majlis ini supaya ekonomi Perak dapat segera pulih dan rakyat dapat menjalani kehidupan secara normal," katanya.
Zambry dalam perbahasannya mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri yang akan melapor kepada Dewan Negeri Perak, dianggota oleh pemegang taruh utama dan tokoh yang dihormati, berkelayakan serta wakil dari kedua-dua kerajaan dan pembangkang.